Apa Mungkin Terjadi Jika Anda Mengalami Fibroids

Fibroids atau nama lainnya leiomyoma merupakan salah satu ketumbuhan benigna yang wujud di dalam rahim dan boleh berlaku dalam bentuk ketumbuhan tunggal atau ketumbuhan berganda.

Fibroid membesar secara perlahan-lahan di beberapa lokasi yang berbeza. Pada kebiasaannya, fibroid terjadi kepada wanita yang berusia sekitar 30-an hingga 40-an, iaitu dalam lingkungan usia subur (peringkat reproduktif) dan akan kembali mengecut (mengecil) apabila seseorang wanita itu sudah mengalami menopaus atau putus haid.

fibroids

Simptom Anda Mengalami Fibroids
1. Pendarahan yang banyak dan panjang ketika haid.
2. Masalah kesuburan
3. Kerap kencing
4. Perut membuncit kerana pembesaran fibroid.
5, Kesakitan dan berat pada bahagian pelvik.
6. Jika fibroid pada pangkal rahim, ia akan menyebabkan kesakitan ketika melakukan hubungan seks.
Fibroid juga berisiko kepada mereka yang mempunyai ahli keluarga yang mengalami masalah fibroid.

Bahaya Fibroids Kepada Wanita

Fibroid walaupun tidak menyerang semua wanita. Namun ia boleh mengundang bahaya kepada kesihatan seperti:

Tekanan

Fibroid yang membesar kebiasaannya akan memberikan tekanan pada organ yang berada di sekitar rahim (uterus), iaitu pundi kencing dan hujung usus (rektum). Akibatnya, seseorang wanita akan mengalami masalah kencing seperti kerap kali hendak kencing, sering kali tidak dapat mengawal kencing dan kadang-kadang mereka akan mengalami kesukaran untuk kencing. Jika hal ini berterusan, air kencing akan bertakung di dalam pundi kencing dan akan menyebabkan seseorang wanita itu berisiko untuk mendapat jangkitan kuman pada pundi kencing. Apabila berlaku jangkitan kuman pada pundi kencing, wanita itu akan berasa pedih atau sakit ketika kencing. Apabila fibroid menekan pada usus pula, ia akan menyebabkan simptom seperti sembelit atau sukar untuk membuang air besar.

Pembesaran Rahim dan Perut

Jika fibroid cukup besar, ia akan menyebabkan pembesaran pada saiz rahim dan juga perut. Seseorang wanita itu akan kelihatan buncit di bahagian bawah perut. Perlu diingatkan bahawa keadaan ini bukan disebabkan oleh penambahan berat badan yang ketara.

Keguguran

Ketumbuhan fibroid juga boleh menyebabkan keguguran kandungan. Hal ini bergantung pada saiz fibroid dan lokasinya. Jika fibroid besar dan berada dalam rongga rahim, ia akan mengubah dinding rahim dan seterusnya mengganggu proses penempelan embrio (janin). Oleh itu, wanita itu akan mengalami keguguran pada awal kandungan lagi. Walau bagaimanapun, tidak semua fibroid akan mengganggu kehamilan dan menyebabkan keguguran.

Infertiliti

Mengikut kajian yang dilakukan, fibroids mempengaruhi infertiliti sebanyak lebih kurang lima peratus sahaja. Infertiliti yang terjadi pada wanita yang menghidap fibroid bukan disebabkan oleh fibroid semata-mata. Hal ini demikian kerana mengikut kajian yang dilakukan, fibroid tidak mengganggu proses pengovulan (ovulasi).

Jadi, wanita yang mempunyai fibroids tidak semestinya mengalami kesukaran untuk hamil. Ada kalanya, jika kesukaran untuk hamil berpunca daripada fibroid itu sendiri, hal ini mungkin disebabkan oleh saiz fibroid yang besar dan menyekat salur Fallopio. Jadi, ovum (telur) yang melalui salur Fallopio itu tidak dapat berjumpa dengan sperma (benih lelaki) dan dengan itu persenyawaan tidak dapat berlaku.

Selain masalah kesuburan, bagi wanita yang berjaya hamil, fibroid mungkin akan menimbulkan masalah sepanjang kehamilannya. Antaranya termasuklah mengganggu kedudukan bayi dalam kandungan seperti songsang, melintang dan sebagainya. Dengan itu, proses kelahiran tidak dapat berlaku secara normal. Pembedahan caesarean terpaksa dilakukan ke atas wanita tersebut. Tidak semua wanita mengalami gejala seperti yang disebutkan itu. Fibroid yang kecil tidak akan memberikan sebarang gejala dan tidak memerlukan sebarang rawatan. Akan tetapi, jika seorang wanita mempunyai salah satu simptom yang telah disebutkan itu, tidak semestinya dia menghidap fibroid.

– Rujukan: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/fibroid-rahim-tumbuh-tanpa-sedar-1.138194

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Klik Untuk Share..Semoga Bermanfaat Kepada Orang Lain Juga...
loading...

Add Comment